Suara dari Jeriji Besi
BICARA BAHASA
Mendidik Manusia dengan Kata-kata
Hasrat untuk mengetengahkan tema “Bahasa di Sebalik Jeriji Besi” atau bahasa dari penjara di dalam Dewan Bahasa (DB), Mei 2008, tentunya mengehendaki kami menjejakkan kaki ke institusi kepenjaraan untuk memerhati, meninjau dan menemu bual beberapa orang responden dalam kalangan kakitangan dan penghuni penjara untuk melihat bahasa dan kebahasaan dari aspek psikolinguistik dan sosiolinguistik.
Mendidik Manusia dengan Kata-kata
Hasrat untuk mengetengahkan tema “Bahasa di Sebalik Jeriji Besi” atau bahasa dari penjara di dalam Dewan Bahasa (DB), Mei 2008, tentunya mengehendaki kami menjejakkan kaki ke institusi kepenjaraan untuk memerhati, meninjau dan menemu bual beberapa orang responden dalam kalangan kakitangan dan penghuni penjara untuk melihat bahasa dan kebahasaan dari aspek psikolinguistik dan sosiolinguistik.
Hasrat tersebut berjaya kami realisasikan melalui kerjasama yang cukup erat yang kami peroleh daripada Jabatan Penjara Malaysia (JPM), khususnya daripada Ketua Unit Urus Setia, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Ibu Pejabat Penjara di Bukit Wira, Kajang, Selangor. Kami amat berterima kasih kepada JPM. Kedatangan Sidang Editor DB bersama-sama Eksekutif Kanan, Unit Majalah, Bahagian Kreatif dan Multimedia, Dawama Sdn. Bhd. dan jurugambar telah disambut baik oleh kakitangan Penjara Kajang.
Gusar yang Berbalik
Pemeriksaan keselamatan yang ketat terhadap kumpulan kami, membuatkan kami sedikit gusar. Kami hanya dibenarkan membawa masuk pen, buku nota, alat perakam suara, dan kamera. Telefon bimbit, dompet dan beg tangan ditinggalkan di dalam lokar khas. Sebaik sahaja melangkah masuk, kami disambut juga oleh beberapa kumpulan penghuni penjara yang sedang duduk atau mencangkung di dalam barisan, menunggu giliran untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Kami terpaksa berjalan di tepi barisan kumpulan-kumpulan tersebut untuk menuju ke bilik khas yang disediakan untuk sesi temu bual. Walaupun kami dikawal oleh kakitangan Unit Kas Penjara, kegusaran kami yang sebelumnya hampir hilang, datang semula.
Pagar Bukan Pemisah
Kami telah menemu bual Inspektor Penjara (IP), Mohd. Kolek bin Mohd. Nor dari Unit Berkuda, IP Jamari bin Abu Bakar dari Pejabat Rekod dan Penolong Penguasa Penjara (PPP) Mohd. Zamri bin Ngah dari Unit Urus Setia, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, dan lima orang penghuni penjara yang berusia dalam lingkungan 22 tahun hingga 38 tahun. Temu bual dengan mereka kami siarkan di halaman 57 hingga 65.
Hasil temu bual tersebut, bahasa penjara, khususnya slanga penjara dapat dirumuskan sebagai bahasa emosi dan ekspresi yang unik yang melahirkan subbudaya yang mewakili objek, personaliti, identiti, kod perlakuan, prosedur, dan amalan masyarakat yang berada dalam lingkungan tersebut. Slanga penjara dalam kalangan penghuni penjara berfungsi sebagai bahasa rahsia yang aktif untuk menjaga kepentingan dan jeleketan kumpulan serta dalam kalangan komuniti penghuni penjara. Slanga penjara juga tidak mengabaikan aspek kesantunan bahasa.
Slanga penjara diwarnai dengan kepelbagaian bahasa, khususnya bahasa Melayu di samping dialek tempatan yang secara tidak langsung berupaya menyatukan penghuni penjara yang berbeza latar bahasa, budaya, agama atau fahaman. Pada masa yang sama, slanga penjara berjaya memperkembangkan bahasa Melayu kepada bukan penutur asli bahasa Melayu, dan memperkenalkan bahasa asing kepada penutur asli bahasa Melayu dan bahasa ibunda.
Manusia dinilai pada keikhlasannya
Pada masa yang sama, JPM berusaha mengikis tanggapan dan stigma masyarakat terhadap imej penjara sebagai pusat pengasingan dan hukuman yang mengerikan. Penjara kini membawa pengertian pusat untuk menerima, mendidik, memulihkan, dan memulangkan penghuninya ke pangkuan masyarakat. Justeru, pelbagai program pemulihan yang berkonsepkan teladan telah diterapkan oleh JPM yang meliputi aspek pembangunan modal insan yang cemerlang dan bitara, dan salah satu unsur yang penting dalam pembangunan modal insan ialah keluhuran dan ketinggian budi bahasa melalui kesantunan berbahasa dan berakhlak mulia. Hal ini telah diperlihatkan kepada kami melalui kakitangan JPM dan sebahagian daripada penghuni penjara yang telah kami temu bual itu.
No comments:
Post a Comment