Monday, 8 October 2012

Banduan ditahan bersama dadah dalam penjara


Banduan ditahan bersama dadah dalam penjara


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Seorang banduan berusia 21 tahun yang dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh di sini atas kesalahan dadah, ditahan kerana memiliki dadah di dalam penjara.
Dia yang berasal dari Pasar Sentul di sini dan menjalani hukuman di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 ditahan oleh warden penjara bersama enam bungkusan plastik berisi pil Eramin 5 kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kegiatannya itu terbongkar apabila pegawai penjara berkenaan terserempak dengan banduan terbabit dalam keadaan mencurigakan di dalam tandas semasa membuat rondaan pada pukul 4.10 petang.
"pegawai penjara  terbabit berasa curiga apabila melihat suspek seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu dalam tong sampah dalam tandas berkenaan.
"Apabila membuat pemeriksaan dalam tong sampah tersebut, dia menemui enam bungkusan plastik yang diikat dengan pelekat berwarna hitam mengandungi 180 biji pil Eramin 5 seberat 49.90 gram," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak penjara kemudian menyerahkan suspek kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Abdul Rahim berkata, pihaknya sedang menyiasat bagaimana banduan terbabit boleh membawa masuk pil Eramin 5 ke dalam penjara yang mempunyai kawalan ketat.
"Kita akan siasat dari semua sudut termasuk kemungkinan ia ada kaitan dengan orang dalam atau diseludup masuk dengan bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan suspek," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm#ixzz28gyMFFCQ © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment