Jamil yang dibebaskan setelah mendapat keampunan pada 2006 turut berkata, bekas-bekas banduan itu boleh memberi ceramah supaya masyarakat dapat mengambil iktibar untuk menjauhi setiap perlakuan jenayah.
"Kalau boleh, mereka (bekas banduan) sertailah program motivasi untuk kongsi pengalaman tentang kepahitan hidup dalam penjara kepada orang ramai terutama generasi muda bagi menyekat terjadinya gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belimbing Kuala Nerang di sini hari ini.
Semalam, Jabatan Penjara mencatatkan sejarah apabila lapan banduan yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan gantung sampai mati di empat penjara di negara ini, dibebaskan serentak.
Pembebasan mereka dijalankan setelah mendapat pengampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjelang hari pertama Ramadan.
Jamil berkata, dia juga menasihatkan lapan banduan tersebut agar benar-benar insaf, bertaubat dan jangan sesekali terfikir untuk mengulangi kesilapan lalu.
Bagaimanapun, katanya, dia yakin kesemua bekas banduan itu khususnya mereka yang menjalani hukuman penjara untuk tempoh yang panjang telah insaf daripada perbuatan lampau.
Jamil berkata, dia sendiri hingga hari ini sering dipanggil dan tidak pernah menolak untuk memberi ceramah motivasi pengalaman di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Menurutnya, dia berasa bertanggungjawab untuk memenuhi jemputan tersebut sebagai sumbangannya membantu pihak berkuasa dan masyarakat membendung jenayah dan menyekat orang ramai daripada terlibat dalam jenayah seperti yang pernah berlaku kepadanya suatu ketika dahulu.
"Saya tidak pernah berasa malu sebaliknya rasa bertanggungjawab untuk menceritakan kepahitan hidup di dalam penjara kepada orang ramai terutama golongan muda," katanya.
Katanya, sejak dibebaskan dari penjara Sungai Buluh pada 3 Oktober 2006, Jamil telah mendapat lebih 300 jemputan untuk memberikan ceramah motivasi kepada orang ramai terutama pelajar sekolah.
"Saya pernah ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) Segamat dan banyak sekolah di Kedah, Perlis dan Selangor untuk beri ceramah motivasi," ujarnya.
Tambah Jamil, dia ikhlas berbuat demikian bagi menunjukkan dia benar-benar insaf dan bertaubat atas segala kesilapannya lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120723/dn_13/Bekas-banduan-wajar-berceramah#ixzz28ggcyBgt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment