Monday, 8 October 2012

banduanita



Didik banduan bak seorang guru



CERITA di sebalik tirai besi sering sahaja memaparkan susur perjalanan penghuninya yang terpaksa meringkuk dalam penjara akibat kesalahan yang dilakukan.
Jarang sekali kita berbicara perihal individu di sebalik tabir kehidupan penjara itu yang terdiri daripada pegawai-pegawai serta kakitangan yang tidak sesekali mengeluh akan tugas mereka menjaga banduan-banduan.
Lebih mengujakan jika pegawai tersebut merupakan golongan wanita yang sememangnya terkenal dengan karakter serta sikap lemah-lembut dalam diri mereka. Bayangkan bagaimana mereka berdepan situasi sulit sepanjang bertugas di penjara.
Bagi Normala Pawan Chik, 54, pengalaman selama 28 tahun sebagai pegawai penjara sememangnya telah mematangkan dirinya dengan selok-belok kehidupan penjara, malah baginya penjara bukanlah tempat yang menakutkan.

WARDEN penjara perlu menggunakan pendekatan yang berhemah dalam mendekati penghuni penjara.


“Banduan-banduan di penjara ini dijaga dengan baik, segala keperluan dan kebajikan mereka kita sediakan secukupnya. Jadi sebenarnya kehidupan mereka tidak banyak beza dengan kehidupan di luar.
“Perbezaannya, mereka dikelilingi tembok tinggi dan pergerakan mereka dikawal, tetapi rata-rata banduan di sini hidup selesa dan tidak banyak menimbulkan masalah,” jelasnya yang bertugas di Penjara Wanita Kajang, Selangor.
Tidak lokek berkongsi cerita, Normala memberitahu, menjaga banduan memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan kerana pendekatan terhadap setiap banduan itu adalah berbeza-beza.
Jika dahulu, banduan yang berkelakuan agresif akan ditenteramkan menggunakan kekerasan tetapi, kini mereka mempraktikkan pendekatan lebih berhemah dengan mendekati banduan tersebut secara baik.
Pernah sekali, ujar Normala, dia hampir diserang dengan batu oleh seorang banduan namun, mujur beberapa banduan lain ternampak perlakuan banduan tersebut dan memberi isyarat kepada Normala.
“Itu merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi, kadang-kadang ada banduan yang tidak suka ditegur dan memilih untuk bertindak kasar. Jadi kita perlu bijak mendekati banduan seperti ini.
“Pergaduhan kecil sesama mereka memang ada tetapi, ia tidak melibatkan fizikal, namun jika situasi itu bertambah tegang, kita akan meleraikan mereka dengan bertindak tegas,” kata Normala yang memikul jawatan sarjan mejar penjara KX22.
Belas kasihan

ILMU agama turut dipupuk dalam diri penghuni penjara.


Setegas mana pun seorang pegawai penjara wanita, pasti terselit naluri belas kasihan dalam diri mereka. Meskipun tugas mereka menuntut diri untuk sentiasa berani dan bersedia dengan cabaran, ada waktunya hati mereka akan tersentuh dengan kisah-kisah banduan itu.
Normala sendiri mengakui, adakalanya dia kasihan dengan wanita-wanita yang terpaksa menerima hukuman penjara walaupun pada dasarnya, mereka tidak bersalah.
Memori paling diingati ialah seorang banduan yang dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan akibat ditangkap khalwat di sebuah hotel murah di Kuala Lumpur.
Menurut Normala, perempuan tersebut mendakwa dia sebenarnya dalam perjalanan ke sebuah klinik dan singgah di lobi hotel berkenaan untuk ke tandas. Namun, dia tidak menyangka ketika itu terdapat serbuan jabatan agama ke atas hotel berkenaan menyebabkan dirinya turut ditangkap.
Wanita itu mendakwa, perbicaraan tidak berpihak kepadanya kerana ketika itu lobi hotel murah tersebut memang terdapat beberapa pasangan yang berkhalwat sekali gus menyabitkan dirinya juga.
“Walaupun tempoh penjaranya hanya tiga bulan, ia tetap meninggalkan kesan seumur hidup terhadapnya. Sekali anda masuk ke penjara, rekod diri anda tidak lagi bersih seperti asal.
“Tetapi sebagai pegawai penjara, tiada apa yang dapat kami lakukan selain memberi mereka semangat serta nasihat untuk meneruskan hidup,” luah Normala yang berasal dari Pulau Pinang.
Penolong Penguasa Penjara Wanita Kajang, Salmah Hashim, 30, menyifatkan pegawai penjara ibarat guru di sekolah yang ditugaskan mendidik serta membentuk banduan-banduan menjadi insan yang lebih baik.
Cabaran buat mereka lebih hebat apabila penjara itu kini didominasi warga asing mewujudkan kekangan bahasa dalam kalangan mereka.
Disebabkan tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu mahu pun Inggeris, banduan-banduan yang terdiri daripada warga Iran, Afrika, dan lain-lain itu menyukarkan komunikasi dan memaksa bahasa isyarat untuk digunakan.

BANDUAN diajar dengan pelbagai ilmu kemahiran sebagai bekalan saat keluar dari penjara.


“Itu antara dugaan yang kita hadapi, tapi suka atau tidak kena hadapi juga dan lama-kelamaan ia akan menjadi mudah.
“Bukan itu sahaja, banduan-banduan hari ini tidak sama macam dulu, sekarang mereka yang menjalani hukuman penjara mempunyai latar belakang pendidikan.
“Ada di antara mereka sememangnya cerdik dan hal itu membuatkan kita sebagai pegawai perlu berfikir dan bertindak lebih bijak daripada mereka agar mereka mudah menghormati kita,” tutur Salmah yang telah enam tahun berkhidmat di penjara itu.
Menguruskan banduan-banduan akhir (banduan yang dijatuhkan hukuman gantung) merupakan antara tugasan getir buat Salmah kerana kelakuan banduan itu di penjara turut menjadi penentu nasibnya sama ada bebas hukuman gantung ataupun tidak.
Kes Mona Fandey

KIRI: Warden penjara perlu memastikan keamanan dan keselesaan di penjara.


Namun ujar Salmah, kali terakhir banduan wanita menjalani hukuman gantung adalah pada tahun 2001 melibatkan kes berprofil tinggi, Mona Fandey. Selepas itu kesemua banduan wanita yang dijatuhi hukuman gantung mendapat kebebasan daripada hukuman itu.
Berbalik kepada Normala, Mona Fandey merupakan antara banduan yang pernah menjadi tanggungjawabnya dan beberapa pegawai penjara wanita yang lain ketika itu.
Kecoh pada detik itu mengatakan bahawa Mona Fandey diletakkan dalam sel khas buat dirinya sahaja kerana didakwa mengamalkan ilmu hitam di penjara itu.
“Dia sama sahaja seperti banduan lain, tiada keistimewaan diberikan. Dia diletakkan dalam sel banduan akhir di mana setiap sel hanya seorang sahaja akan menjadi penghuni sel tersebut.
“Cuma ketika itu, aktiviti riadah baginya yang dijalankan setiap petang tidak akan dijalankan bersama banduan lain berikutan statusnya sebagai banduan akhir.
“Pada saya, sejauh mana pun kebenaran ilmu yang diperkatakan orang tentang Mona, dia tidak pernah sekali pun terlepas dari penjara seperti dakwaan beberapa pihak dahulu,” singkap Normala tanpa selindung.
Menyentuh perihal banduan berbadan dua dan terpaksa mendiami penjara bersama anak yang baru dilahirkan mungkin kedengaran tragis namun, sebenarnya mereka dijaga bagai menatang minyak yang penuh.
Seorang lagi pegawai penjara, Rohanizan Yusop, 28, memberitahu anak kepada banduan tersebut dibenarkan untuk tinggal bersama ibunya di dalam penjara sehingga usianya mencecah tiga tahun.
Tambah Rohanizan, selepas tempoh tersebut, anak kepada banduan itu akan diberi kepada waris banduan dan sekiranya tiada yang tampil menuntut, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Hampir kesemua anak-anak banduan yang tinggal di sini tidak banyak kerenah, mereka mudah mendengar kata dan kita juga seronok bergurau dengan mereka.
“Memang tidak dinafikan, momen perpisahan itu sedikit merentap emosi tetapi, mahu atau tidak ia terpaksa dilaksanakan atas faktor tanggungjawab,” kata Rohanizan.

No comments:

Post a Comment